Friday, February 10, 2012

KECEMERLANGAN PENDIDIKAN

Ucapan Datuk Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2002
Kecemerlangan Pendidikan Dalam Agenda Pembangunan Negara

Pendidikan sentiasa menjadi isu utama dan amat dekat dengan jiwa nurani orang Melayu. Setiap isi rumah, setiap rakyat terlibat secara langsung dalam isu pendidikan. Adakala ia mengejutkan, adakala ia menyedarkan dan adakalanya ia menginsafkan kita semua. Apa jua keadaannya, jika disediakan suasana pembelajaran yang kondusif serta memperolehi sokongan yang sewajarnya dari semua pihak, saya yakin bahawa pelajar Melayu adalah setanding dengan sesiapa sahaja dan mampu mencapai kecemerlangan.


Pendidikan amat penting dalam usaha membentuk jatidiri bangsa dan memupuk perpaduan warga. Wawasan pendidikan negara bukan sekadar untuk melahirkan insan berilmu, malah perlu memenuhi tanggungjawab ekonomi dengan melahirkan sumber manusia terlatih, perlu memenuhi tanggungjawab sosial memupuk nilai-nilai budaya yang positif dan perlu memenuhi tanggungjawab politik dengan membina warga bangsa yang bersatu lagi berpadu. .


Pendidikan merupakan saluran yang boleh meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat. Pendidikan berperanan langsung dalam usaha membasmi kemiskinan. Pendidikan berperanan langsung dalam usaha menyusun semula struktur kerja dan struktur masyarakat di negara ini. Pendidikan berperanan besar dalam merealisasikan program integrasi nasional di kalangan rakyat pelbagai kaum pelbagai agama. .


Pemuda UMNO sepanjang masa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam program politik kita dari peringkat penggubalan dasar, mengawasi perlaksanaan dasar dan membantu pencapaian matlamat Dasar Pendidikan Nasional. Pemuda UMNO pernah menyuarakan rasa bimbang terhadap nasib pelajar Melayu sebelum sistem meritokrasi diperkenalkan dalam proses pengambilan pelajar oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam awal tahun ini. Namun begitu, Pemuda UMNO berbangga apabila anak-anak Melayu menyahut sistem meritokrasi ini sebagai satu cabaran. Anak-anak Melayu dengan dorongan keluarga dan bimbingan guru telah membuktikan walaupun dengan dasar meritokrasi, tahap pencapaian mereka cukup membanggakan. Dalam kegembiraan kita dari segi pencapaian kuantiti, kita perlu segera meneliti pengisian agenda pendidikan secara mikro. Kemasukan pelajar Melayu dalam kursus-kursus Farmasi, Perubatan, Pergigian dan kursus-kursus profesional adalah kritikal untuk mengimbangkan bilangan profesional dan saintis Melayu di dalam negara. Jumlah pelajar dan penguasaan kita dalam bidang-bidang ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga perlu dipertingkatkan. .


Sebaik sahaja anak Melayu membuktikan prestasi pencapaian cemerlang, berbunyilah pahat di sana sini, meski rumah siap dibina. Di kalangan bukan Melayu, ada yang meminta sistem merit dikaji semula. Kalau dulu mereka yang mempertikaikan sistem kuota, kalau dahulu mereka menjuarai sistem merit, sekarang mereka pula mahu sistem merit dikaji semula dengan mengekalkan kembali sistem kuota. Ada pula di kalangan bukan Melayu yang mempertikaikan kesahihan keputusan akademik yang dicapai oleh anak Melayu. Pemimpin DAP adalah di antara mereka yang telah secara lantang cuba membangkitkan keraguan tentang kesahihan prestasi pencapaian akademik anak-anak Melayu. Pemuda UMNO menganggap nada keraguan tersebut adalah satu penghinaan kepada bangsa Melayu; satu usaha yang merendahkan keupayaan bangsa Melayu, satu perbuatan berunsur perkauman yang boleh menjejas hubungan kaum di dalam negara. .


Demi memupuk integrasi nasional, bangsa Melayu telah menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan. Cadangan pemberian 10 peratus kuota untuk bukan bumiputera di Maktab Rendah Sains MARA dan Pusat Matrikulasi harus digarap bukan hanya oleh orang Melayu tetapi harus juga menggerakkan kaum-kaum lain untuk berkorban merealisasikan agenda integrasi nasional. Ia tidak akan berhasil jika diusahakan oleh satu pihak sahaja. Orang bukan Melayu hendaklah menunjukkan reaksi timbal balik yang seimbang. Kita yakin dengan cara ini, ia akan mewujudkan toleransi dan persefahaman ke arah membina satu masyarakat dengan jatidiri Malaysia. .


Dalam usaha meningkatkan persaingan dan membina integrasi nasional, Pergerakan Pemuda ingin melihat pilihan calon-calon bukan Melayu terdiri dari kalangan mereka yang telah melalui pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kebangsaan. Keutamaan juga wajar diberikan kepada pelajar bukan bumiputera yang datang dari keluarga miskin dan dari kalangan mereka yang berada di luar bandar. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan dalam membentuk integrasi nasional dan sekali gus dapat merealisasikan kehendak yang termaktub dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang 3 (RRJP3). Ketika isu ini dibahaskan, Pemuda ingin menekankan, program sekolah wawasan adalah sebaik-baik pendekatan yang perlu dilaksanakan secara tegas tanpa sebarang tolak ansur lagi. .


Pemuda juga mendesak supaya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menunjukkan semangat muhibbah dan kenegaraan mereka. Urusan pengambilan dan penyediaan kemudahan untuk pelajar bumiputera harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh sebagai manifestasi semangat muhibah dan kenegaraan. Mereka hendaklah melakukan kajian dan perakuan tertentu membantu mengimbangi komposisi pelajar mengikut kaum di setiap IPTS. Pemuda UMNO sentiasa menerima baik usaha pihak IPTS untuk menjayakan hasrat ini asal saja mereka membuktikannya dengan tindakan dan tidak sekadar di bibir sahaja. Sebagai membuktikan kita amat serius dalam hal ini saya mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan IPTS Pemuda UMNO dengan tabungan awal sejumlah RM1.5 juta bagi membantu keperluan ke arah pengimbangan kaum di semua IPTS. Pun begitu tanggungjawab untuk membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar Melayu memasuki IPTS, harus juga disambut oleh masyarakat bukan Melayu terutamanya di kalangan sektor swasta yang selama ini jelas menikmati kemakmuran hasil perjuangan kerajaan. .


Pemuda sentiasa percaya sekolah aliran kebangsaan sangat penting bagi memupuk integrasi nasional. Justeru, Pemuda menggesa usaha dilakukan bagi memperkasakan sekolah kebangsaan. Keyakinan rakyat terhadap sekolah kebangsaan perlu terus dibina. Untuk itu, kualiti pengajaran, peralatan, kelengkapan, nisbah guru murid di sekolah kebangsaan perlu ditingkatkan. Produk dari sekolah kebangsaan akan mengeluarkan calon-calon yang akan bersaing untuk mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi. Dengan kaedah pemilihan yang diasaskan kepada meritokrasi, kualiti prasarana pendidikan di sekolah-sekolah luar bandar amat perlu dipertingkatkan. Insentif baru bagi menarik guru terbaik lagi berpengalaman, mahu berkhidmat di luar bandar hendaklah segera diperkenalkan. Pakej pendidikan yang dapat meningkatkan pencapaian prestasi akademik di luar bandar perlu dilaksanakan serta merta. .


Program Pendidikan Negara juga perlu dikemaskinikan secara berterusan bagi memperlengkapkan generasi muda berupaya menghadapi cabaran globalisasi. Ekonomi dunia telah berganjak dari ekonomi berasaskan pembuatan kepada ekonomi berpaksikan pengetahuan (K-ekonomi), yang muncul bersama revolusi teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Penyebaran maklumat dan pengetahuan berlaku sangat pantas merentasi sempadan di antara negara. Hampir keseluruhannya berlaku melalui internet dan dalam bahasa Inggeris. Persaingan bangsa Melayu tidak lagi terbatas dalam lingkungan sempadan Malaysia. Revolusi ICT dan era globalisasi membawa kita untuk bersaing dengan dunia. Mahu tidak mahu orang Melayu perlu mampu menguasai bahasa Inggeris. .


Adalah diakui bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan warga Malaysia terutama anak-anak Melayu bertambah lemah. Dalam era globalisasi, dan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, bahasa Inggeris adalah alat perantaraan dan alat perhubungan yang penting. Pemuda berpendapat isu penguasaan bahasa Inggeris dan usaha ke arah meningkatkan daya penguasaan bahasa tersebut di kalangan warga Malaysia hendaklah ditangani secara objektif dan sistematik. Ini bagi membolehkan aspirasi melahirkan generasi yang dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik akan terlaksana. .


Menyedari kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris begitu mendesak bagi melayakkan anak Melayu bersaing di peringkat global, Pemuda UMNO begitu komited untuk turut menyumbang mempastikan bahawa seramai mungkin anak Melayu dapat menguasai bahasa ini secara fasih, secara lancar. Kita meneliti isu penggunaan bahasa Inggeris secara objektif dan menepati matlamat yang disasarkan. Di sudut lain, Pemuda tidak mahu cadangan penggunaan bahasa ini untuk pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik akan akhirnya merugikan anak-anak Melayu. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong pula keciciran. .


Pemuda UMNO berpandangan pengajaran mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris perlu dilaksanakan secara teliti dan bijak. Program pelaksanaan sebaiknya disesuaikan dengan keupayaan sumber yang ada, baik sumber manusia mahupun sumber bahan pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak perlu gopoh dan terburu-buru. Kita perlu menyedari dan berani mengakui kekurangan yang ada dalam sistem pendidikan hari ini. Maka penjadualan dan pelaksanaan cadangan ini hendaklah dilihat secara realistik. Pemuda khuatir kegagalan melaksanakannya secara tersusun dan terperinci akan mengakibatkan para pelajar menjadi mangsa. Justeru, kita merayu agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa perancangan dan perlaksanaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperhalusi sistem yang bakal dilaksanakan ini. Dan yang lebih penting, ia mampu memperlihatkan secara jelas keupayaan dan kesan jangka panjangnya. Sekadar ingin memastikan agar matlamat yang diingini tercapai, kita mohon agar kesemua komponen dan jentera pendidikan dilibatkan secara menyeluruh. .


Dalam kecenderungan dan kesungguhan menyahut cabaran untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Pergerakan Pemuda ingin menegaskan bahawa status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak boleh dikompromi. Bahasa yang bukan sahaja menjadi identiti orang Melayu, malah merupakan identiti kebangsaan seluruh rakyat Malaysia mesti diletakkan di tempat yang cukup tinggi yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Pemuda UMNO amat menghargai keputusan kerajaan dan menyokong saranan menolak cadangan memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris. Cukuplah pengukuhan bahasa Inggeris dicapai melalui pengajarannya dalam mata pelajaran tertentu. .


Pemuda UMNO menganggap agenda pendidikan sebagai satu cabaran yang memerlukan penyertaan kita. Pergerakan Pemuda bertanggungjawab dalam membantu anak-anak Melayu memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang dalam peringkat peralihan yang bakal ditempuhi ini. Pergerakan Pemuda perlu juga bersungguh-sungguh untuk melaksanakan agenda pendidikan bangsa dalam usaha mahu merapatkan jurang pencapaian di antara Melayu dengan bukan Melayu. Kita perlu perbanyakkan program-program seperti Tuisyen Emas dan Jejak Akar. Malah lebih banyak kelas bahasa Inggeris akan diadakan. .


Pencapaian memberangsangkan anak-anak Melayu harus memberikan inspirasi, meningkatkan keyakinan bahawa bangsa Melayu juga jika bersedia, berupaya mencapai taraf kecemerlangan. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan, tidak ada cara singkat untuk memperolehi kemenangan. Perhimpunan hari ini amat bersejarah dan saya amat yakin inilah masa dan ketika, bermulanya kesungguhan kita untuk memperkasa dan memartabatkan pendidikan pelajar Melayu ke arah kecemerlangan. .


ServerFreak Web Hosting Solutions

E-Kamus-Malaysia